Undang-undang Jenayah
Sunday, October 18, 2009
Makna dan Takrif Pakatjahat.
Kebiasaannya orang ramai akan menganggap bahawa tindakan perlakuan sesuatu jenayah itu akan lebih berbahaya sekiranya dilakukan oleh gabungan beberapa orang jika hendak dibandingkan dengan perlakuan jenayah yang dilakukan oleh orang perseorangan. Ini kerana bilangan yang ramai dalam melakukan jenayah berupaya melakukan banyak kerosakan jika hendak dibandingkan dengan tindakan seorang sahaja, lebih-lebih lagi perlakuan itu lebih berbahaya sekiranya terdapat satu perjanjian untuk melakukan jenayah itu. Tambahan pula apabila wujud gabungan-gabungan di antara orang-orang ini , maka peluang untuk memecahkan kumpulan ini sangat tipis. Gabungan-gabungan untuk melakukan jenayah ini atau perlakuan jenayah secara beramai-ramai ini boleh dikatakan sebagai pakatjahat jenayah, iaitu berpakat untuk melakukan jenayah. Apakah itu pakat jahat jenayah?
Mengikut kamus Oxford Dictionary of Law Edisi Ke-6 menyatakan bahawa pakatjahat ialah “ an agreement between two or more people to behave in a manner that will automatically constitute an offence by at least one of them.” ( perjanjian di antara dua orang atau lebih untuk berkelakuan dalam cara yang akan mewujudkan kesalahan sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka.) Contohnya , 2 orang telah bersetuju, seorang mencuri dan seorang akan menunggu di dalam kereta untuk melarikan diri. Persetujuan itu dengan sendirinya telah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang yang boleh dihukum mengikut kesalahan yang dipersetujui walaupun kesalahan itu tidak dilakukan. Di negara kita, undang-undang tentang pakatjahat jenayah adalah terkandung di dalam seksyen 120A KK. Makna dan takrif pakatjahat jenayah adalah dinyatakan secara jelas dalam seksyen 120A KK.
Seksyen 120A : Takrif Pakatjahat Jenayah
Apabila dua orang atau lebih daripada dua orang bersetuju melakukan , atau menyebabkan supaya dilakukan :
(a) suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang ; atau
(b) suatu perbuatan, yang tidak menyalahi undang – undang, dengan jalan yang menyalahi undang-undang,
maka persetujuan yang demikian itu adalah dinamakan pakatjahat jenayah:
Dengan syarat bahawa apa-apa persetujuan, kecuali suatu persetujuan bagi melakukan sesuatu kesalahan, tidaklah terjumlah kepada suatu pakatjahat jenayah melainkan jika sesuatu perbuatan selaindaripada persetujuan itu dilakukan oleh satu atau beberapa pihak yang membuat persetujuan itu pada menurut persetujuan itu.
Huraian – Maka tidaklah mustahak sama ada perbuatan yang menyalahi undang-undang itu adalah tujuan muktamad bagi persetujuan itu, atau cuma bersangkutan denagn tujuan itu.
Definisi seksyen 120A adalah bersamaan dengan keputusan Mahkamah dalam kes : Quinn lwn Leatham [1901] AC 495, 528 di mana Hakim Brampton menyatakan :
“ Sekiranya dua orang atau lebih bersetuju bersama-sama untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dengan undang-undang atau menyalahi undang-undang atau berbahaya terhadap seorang lain, atau menggunakan cara-cara yang tidak sah dalam melaksanakan sesuatu objek yang bukan sebaliknya tidak sah, orang yang berjanji melakukan pakatjahat jenayah.”
Manakala dalam buku Halsbury’s Laws of England Edisi ke-4, vol.11. perenggan 58; muka surat 44 menyatakan :
“ suatu pakatjahat jenayah mengandungi perjanjian dua orang atau lebih orang untuk melakukan perbuatan yang tiadak sah atau melakukan sesuatu perbuatan yang sah melalui cara yang tidak sah…”
Di dalam suatu kesalahan pakatjahat jenayah, perkara yang penting adalah mengenai fakta gabungan oleh sesuatu perjanjian. Perjanjian tersebut boleh sama ada secara terus terang atau tersirat , atau sebahagiannya adalah secara nyataan dan sebahagiannya adalah secara tersirat. Suatu pakatjahat ini akan wujud dan kesalahan tersebut dilakukan sebaik sahaja perjanjian itu dibuat; dan kesalahan itu akan berterusan selagi mana gabungan itu terbatal setelah perlaksanaan perbuatan itu tamat ataupun setelah berputus asa atau kehampaan ataupun mana-mana di antaranya. Suatu Actus reus pakatjahat jenayah adalah suatu perjanjian untuk melakukan perbuatan yang tidak sah, dan bukannya perlaksanaan perbuatan itu. Di sini adalah perlu untuk menunjukkan pemikiran yang sama, persamaan untuk melakukan maksud yang tidak sah. Adalah tidak perlu setiap pihak pakatjahat jenayah berhubung antara satu sama lain. Bagaimanakah hal ini berlaku? Contoh bagi huraian ini ialah dalam rantaian pakatjahat ,. Di dalam rantaian pakatjahat ( chain conspiracy) atau putaran pakatjahat ( wheel conspiracy), D1 melakukan persetujuan dengan D2, D2 bersetuju dengan D3, D3 bersetuju dengan D4 dan seterusnya. Di dalam hal ini. D1 adalah ‘hub’ atau pusat bagi rantaian pakatjahat tersebut di mana dia mengarah atau merekrut D2, D3 dan D4 mengikut rancangannya. Di sini dapat dilihat bahawa adalah tidak perlu setiap pihak tersebut berhung atau mengenali antara satu sam lain untuk menjadikan suatu pakatjahat itu sesuatu yang sah. . Yang penting di sini ialah setiap pihak yang terlibat mestilah mempunyai objek yang sama untuk melakukan pakatjahat tersebut
Di dalam kes Amrita Lal Hazra [1914] 42 Cal 957, kesalahan pakatjahat merupakan kesalahan yang tersendiri dan telah ditetapkan undang-undang. Menurut seksyen 120A menyebut bahawa adalah menjadi suatu jenayah pakatjahat jika dua orang atau lebih bersetuju ( sama ada dengan berjanji, perakuan dan sehati atau seumpamanya) untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang atau dengan jalan yang mnyalahi undang-undang. Ini bermakna suatu “persetujuan” sahaja sudah cukup untuk menghukum seseorang di bawah seksyen 120A KK, walaupun sesuatu perbuatan yang menyalahi undang-undang itu tidak dilakukan.
Seksyen 120B KK pula adalah tentang hukuman kepada pesalah yang disabitkan di atas tuduhan pakatjahat jenayah.
Seksyen 120B : Seksaan bagi Pakatjahat jenayah
(1) Barangsiapa menjadi suatu pihak dalam suatu pakatjahat jenayah bagi melakukan kesalah yang boleh diseksa dengan bunuh, atau penjara selama tempoh atau lebih hendaklah, jika tiada apa-apa peruntukan yang nyata ditetapkan oleh Kanun iniberkenaan dengan seksaan bagi pakatjahat jenayah itu, diseksa sama seperti seolah-olah ia telah menyubahati kesalahan itu.
(2) Barangsiapa menjadi satu pihak dalam suatu pakatjahat jenayah yang lain daripada pakatjahat jenayah bagi melakukan kesalahan yang boleh diseksa sebagaimana yang tersebut di atas itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan, atau dengan denda , atau dengan kedua-duanya.
Oleh yang demikian, menurut seksyen 120B (1) , seseorang yang menjadi anggota dalam pakatjahat jenayah bagi melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman bunuh, misalnya kesalahan membunuh orang di bawah seksyen 302KK dan kesalahan terhadap negara di bawah seksyen 121 KK, maka anggota pakatjahat jenayah itu boleh dihukum bunuh. Ini bermakna setiap anggota yang terlibat dengan pakatjahat tersebut boleh dihukum bunuh walaupun seorang sahaja yang benar-benar melakukan kesalahan menbunuh itu.( Seseorang yang melakukan pakatjahat jenayah bagi kesalahan-kesalahan seumpamanya itu boleh dihukum bunuh seolah-olah dia sendiri telah menyubahati kesalahan itu.
Sementara itu, menurut seksyen 120B (2) KK pula, bagi seseorang yang melakukan kesalahan pakatjahat jenayah selain kesalahan-kesalahan yang dikategorikan di seksyen 120B (1) , misalnya pakatjahat dalam melindungi orang-orang yang diupah untuk sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang di bawah seksyen 157 ( yang boleh dipenjara sehingga 6 bulan) atau pakatjahat jenayah dalam kesalahan menerima rasuah di bawah seksyen 163 ( boleh dihukum penjara 1 tahun) dan kesalahan –kesalahan lain seumpamanya, maka orang-orang yang menjadi anggota dalam pakatjahat itu boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh samapai 6 bulan, atau denda sahaja, atau dengan kedua-dua bentuk hukuman, iaitu penjara dan denda.
Di sini juga ingin dinyatakan perbezaan di antara pakatjahat jenayah di bawah seksyen 120A dengan subahat melalui pakatjahat jenayah di bawah seksyen 107 (b)
Seksyen 107 (b) menyatakan :
“ Seseorang adalah bersubahat melakukan sesuatu perkara jika ia :
“Mengambil bahagian bersama dengan seorang atau beberapa orang lain dalam apa-apa pakatjahat bagi melakukan perkara itu, jika suatu perbuatan atau suatu ketinggalan yang menyalahi undang-undang berlaku menurut pakatjahat itu, dan dengan tujuan hendak melakukan perkara itu…”
Dalam situasi ini pensubahat akan mengambil bahagian secara bersama-sama atau lebih senang diertikan seseorang itu bersubahat dengan pihak yang melakukan pakatjahat jenayah. Elemen-elemen yang boleh dikenalpasti untuk mensabitkan seseorang itu bersubahat dengan cara pakat jahat ialah ;
(a) seseorang itu mestilah mengambil bahagian dalam pakatjahat, walaupun tidak menyertai dalam melakukan kesalahan itu ;
(b) kesalahan itu merupakan perbuatan salah atau ketinggalan salah .
(c) perbuatan atau ketinggalan salah itu telah berlaku, berlaku menurut pakatjahat itu
(d) mereka memang bertujuan untuk melakukan perkara tersebut
Di dalam kes R lwn Hawkesley [1959] Cr. L. J. 1273, di mana dua orang tertuduh A dan B telah meminta seorang pemandu teksi (C) , menghantar mereka ke suatu tempat di luar Bandar. Semasa dalam pertengahan jalan tersebut, kedua-dua tertuduh ( A dan B ) telah memberitahu C bahawa mereka bercadang untuk melakukan samun di sebuah kelab golf. Sebelum daripada ini, C sememangnya tidak mengetahui hala tujuan A dan B. Seperti yang diarahkan, C telah menurunkan kedua-dua A dan B berhampiran dengan kelab golf tersebut. Dalam masa yang sama kedua-dua A dan B telah mengarahkan C supaya dating mengambil mereka semula selepas daripada tempoh satu jam kemudian. Apabila C pulang semula ke Bandar bagi meneruskan pekerjannya memandu teksi dan tidak dating semula ke tempat itu seperti yang diarahkannya. Sebelum sempat menyamun, kedua-dua A dan B telah ditangkap dan telah dituduh kerana memiliki alat-alatuntuk tujuan melakukan kesalahan pecah rumah pada waktu malam. Sebaliknya C juga dituduh bersubahat dengan cara pakatjahat untuk melakukan jenayah pecah rumah pada waktu malam. Mahkamah memutuskan oleh kerana C tidak mengetahui pada awlnya tujuan A dan B, maka C juga tiada sebab untuk mempercayai bahawa A dan B akan melakukan suatu jenayah, mak tiada bukti bahawa C bersubahat dengan cara pakatjahat untuk melakukan jenayah tersebut.
0 comments:
Post a Comment