Search all about law here!

Custom Search

Undang-undang Jenayah..sambungan

Sunday, October 18, 2009

Mens Rea dalam Pakat Jahat


Dalam perkara ini, pihak-pihak dalam pakat jahat jenayah mestilah berhasrat atau berniat supaya perjanjian mereka dilaksanakan. Perjanjian tersebut mestilah sama ada untuk melakukan perbuatan yang tidak sah atau untuk melakukan perbuatan yang sah melalui cara yang tidak sah. Objek atau cara yang digunakan adalah tidak sah ditakrifkan di bawah seksyen 43 Kanun Keseksaan. Suatu perbezaan di antara perjanjian sama ada objeknya atau cara yang digunakan adalah tidak sah tetapi tidak menjadikannya suatu kesalahan. Dalam kes-kes yang terdahulu, suatu pakat jahat jenayah akan lengkap melalui perbuatan perjanjian sementara dalam kes-kes yang terkemudian, ianya mestilah wujud suatu perbuatan yang dilakukan oleh pihak-pihak kepada perjanjian itu bagi memberi kesan kepada objeknya iaitu mestilah wujud suatu perbuatan secara terang-terangan.
Bagi membuktikan pertuduhan pakat jahat, pengetahuan menurut keinginan sama ada suatu perbuatan yang tidak sah atau perbuatan yang sah melalui cara yang tidak sah adalah diperlukan. Dalam sesetengah kes, niat bagi kegunaan yang tidak sah dibuat terhadap barang-barang atau perkhidmatan yang dipersoalkan boleh disimpulkan daripada pengetahuan itu sendiri. Pihak pendakwaan tidak perlu untuk membuktikan niat suatu penggunaan yang tidak sah selagi mana barang-barang atau perkhidmatan yang menjadi persoalan itu tidak boleh diletakkan kepada mana-mana penggunaan yang sah. Jika kesalahan utama itu mengandungi berbagai-bagai tindakan maka adalah tidak perlu bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa setiap pihak pakat jahat mempunyai pengetahuan apa yang akan pelaku itu lakukan selagi mana diketahui bahawa pelaku tersebut akan meletakkan barang-barang atau perkhidmatan kepada penggunaan yang tidak sah.
Dalam kes Churchill v Walton [1967] 1 All E.R. 497, mahkamah menyatakan mens rea adalah hanya merupakan intipati yang diperlukan dalam suatu pakat jahat iaitu mestilah wujud niat untuk menjadi pihak kepada suatu perjanjian untuk melakukan perbuatan yang tidak sah. Maka, adalah perlu untuk menumpukan kepada terma atau kesan perjanjian yang dibuat oleh pihak-pihak pakat jahat itu. Persoalannya adalah “Apa yang mereka persetujui untuk melakukan?” Sekiranya apa yang dipersetujui untuk dilakukan adalah berdasarkan fakta-fakta yang diketahui oleh mereka iaitu suatu perbuatan yang tidak sah, mereka adalah bersalah kerana pakat jahat. Begitu juga dalam kes Yash Pal Mital v State of Punjap, AIR [1977] Punjap 189, mahkamah memutuskan bahawa pihak-pihak pakat jahat mestilah bertindak dengan satu objek untuk mencapai hasil sebenar yang mana setiap mereka adalah mengetahuinya dan yang mana setiap mereka juga mempunyai kepentingan dan niat di mana semestinya wujud persamaan objek atau tujuan.
Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa keperluan pihak-pihak pakat jahat berhasrat untuk melakukan suatu kesalahan tidaklah bermakna bahawa setiap pihak pakat jahat mesti berniat untuk melakukan perbuatan tersebut bagi menjadikannya kesalahan yang lengkap. Di sini, apa yang diperlukan adalah pada masa perjanjian tersebut dilakukan, setiap pihak dalam pakat jahat mesti berniat supaya kesalahan jenayah itu dilakukan dan dia akan melaksanakan peranannya dalam perjanjian itu walaupun peranan tersebut tidak lebih dari hanya bersetuju supaya kesalahan jenayah itu dilakukan oleh orang lain.
Suatu perjanjian bagi melakukan sesuatu perbuatan yang sah melalui cara yang tidak sah adalah merupakan suatu pakat jahat. Apabila suatu perjanjian yang bukan untuk perlakuan suatu kesalahan, maka perbuatan secara terang-terangan menurut pakat jahat adalah diperlukan. Dalam hal ini, undang-undang tidak mengambil kira mengenai niat atau pemikiran pesalah. Justeru, mestilah wujud suatu perbuatan secara terang-terangan bagi menjelaskan sesuatu niat. Suatu perbuatan secara terang-terangan dalam menjadikan suatu pakat jahat merupakan perbuatan sama ada menandakan suatu perjanjian atau persediaan perbuatan bagi suatu kesalahan atau perbuatan yang menjadikan suatu kesalahan. Oleh yang demikian, suatu perbuatan secara terang-terangan dalam kes pakat jahat mengandungi perjanjian pihak-pihak untuk melakukan perbuatan yang tidak sah ataupun melakukan perbuatan yang sah melalui cara yang tidak sah.
Berdasarkan statut di England pula, iaitu di bawah seksyen 1(1) Criminal Law Act 1977, seksyen ini telah membuat tanggapan tentang kewujudan niat pihak-pihak yang terlibat dalam pakat jahat untuk melaksanakan perjanjian yang telah dibuat. Maka, di sini asas kesalahan melakukan pakat jahat jenayah ialah niat untuk meneruskan perbuatan yang dilarang itu Dalam kes Anderson [1986] AC 27, defendan dalam kes ini telah disabitkan atas kesalahan membuat komplot dengan beberapa orang yang lain bagi menolong salah seorang daripada mereka untuk melarikan diri daripada penjara. Defendan dikatakan telah bersetuju untuk menyediakan alat-alat bagi memotong pagar besi dipenjara tersebut. Walau bagaimanapun, dia telah menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk meneruskan rancangan tersebut kerana dia percaya rancangan itu adalah mustahil untuk berjaya. Dalam kes ini, mahkamah telah memutuskan bahawa keadaan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai suatu pembelaan. Memang jelas di sini bahawa dua atau lebih orang yang melakukan komplot itu memang berniat untuk meneruskan rancangan mereka. Oleh itu, sabitan terhadap defendan adalah disahkan atas alasan bahawa dia telah membantu serta bersubahat dalam pakat jahat itu. Hal ini memang dilakukan olehnya iaitu melalui sokongan serta bantuan yang telah ditawarkan olehnya.
Menurut Lord Bridge dalam kes Anderson, mens rea bagi kesalahan komplot boleh dibuktikan jika ditunjukkan bahawa semasa mengikat perjanjian tersebut, pihak tertuduh telah mengambil bahagian dalam perbuatan yang telah dijanjikan bagi tujuan meneruskan tujuan jenayah yang diniatkan itu atau dengan kata lain wujud niat untuk melibatkan diri dalam melaksanakan perjanjian tersebut di pihak tertuduh. Namun tiada apa-apa keperluan dalam seksyen ini ataupun dalam common law yang memerlukan setiap pihak yang terlibat dalam suatu pakat jahat untuk mengambil bahagian secara aktif bagi melaksanakan pakat jahat tersebut. Jadi, apa yang perlu disini ialah perlakuan kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang atau lebih daripada pihak-pihak yang berurusan dengan perjanjian tersebut.
Seksyen 1(2) Criminal Law Act 1977 pula menyatakan tentang komplot untuk melakukan kesalahan tanggungan keras.. Peruntukan ini bertujuan untuk menentukan konsep liabiliti ketat dan kesemberonoan berkaitan dengan keadaan tidak termasuk di bawah kesalahan komplot. Niat atau pengetahuan kepada semua keadaan berkenaan memerlukan actus reus walaupun perjanjian yang terlibat adalah untuk melakukan jenayah yang mungkin dilakukan melalui perbuatan secara melulu atau jenayah liabiliti ketat. Dalam hal ini, telah diperuntukkan secara nyata bahawa ia hanya terpakai kepada jenayah komplot. Seksyen 1(2) pula telah membuat peruntukkan yang nyata bahawa kedua-dua pihak yang berurusan dalam perjanjian tersebut mestilah mempunyai mens rea. Maka, tidak terdapat pakat jahat untuk melakukan jenayah tertentu melainkan terdapat sekurang-kurangnya dua pihak yang berurusan dengan perjanjian tersebut yang memang berniat untuk melaksanakan jenayah itu.
Bagi komplot untuk melakukan fraud, House of Lord dalam kes Scott v Metropolitan Police Commissioner [1975] AC 819 telah menyatakan bahawa adalah jelas perjanjian secara tidak jujur oleh dua pihak atau lebih untuk mengambil sesuatu yang dipunyai oleh orang lain dan perjanjian secara tidak jujur itu bertujuan untuk menyalahgunakan hak milik pihak itu, maka ini adalah mencukupi untuk membentuk satu kesalahan komplot untuk memfraud. Walau bagaimanapun, mens rea dalam komplot untuk melakukan fraud mesti juga dibuktikan. Lord Diplock dalam kes Scott telah menyatakan bahawa apabila mangsa yang dimaksudkan dalam ‘komplot untuk melakukan fraud’ adalah individu tertentu, maka tujuan pihak yang melakukan komplot tersebut mestilah untuk menyebabkan kerugian dari segi ekonomi terhadap mangsa yang terlibat iaitu melalui pelucutan hartanya atau untuk menggunakan harta zahir atau harta tak zahir yang dia berhak atau mungkin berhak.
Manakala dalam kes Cooke [1986] 2 All ER 985, pelayan Syarikat Kereta Api British telah menaiki kereta api bersama-sama dengan makanan yang disediakan oleh mereka untuk dijual kepada penumpang kereta api tersebut. Mereka sepatutnya menjual makanan yang telah disediakan oleh majikan mereka. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mendapat keuntungan dan menyimpan wang hasil daripada jualan tersebut. Mereka mungkin didapati bersalah di sisi undang-undang kerana telah berusaha untuk menipu penumpang kereta api berkenaan apabila mereka menjual makanan tersebut dan meletakkan tanda harga melalui penipuan. Tanpa mengambil kira perkara ini benar atau tidak, House of Lord tidak menghadapi kerumitan dalam membuat keputusan bahawa pihak yang terlibat bersalah atas melakukan komplot untuk memfraud Syarikat Kereta Api British. Walau bagaimanapun, adalah jelas bahawa tujuan pihak yang berkomplot dalam kes ini adalah untuk mendapatkan keuntungan daripada para penumpang dan bukannya untuk memfraud Syarikat Kereta Api British. Tetapi, House of Lord mungkin berpendapat bahawa pihak juri boleh memutuskan yang tertuduh mesti mengetahui bahawa kelakuan mereka akan menyebabkan kerugian kepada syarikat tersebut. Sekiranya sedemikian, maka adalah betul untuk memutuskan bahawa mereka memang berniat untuk memfraud syarikat itu. Oleh sebab mereka tahu yang mereka hanya boleh mendapat keuntungan melalui kerugian orang lain, maka mereka memang berniat untuk menyebabkan kerugian tersebut.
Kesimpulannya, mens rea merupakan intipati yang penting dalam satu kesalahan pakat jahat jenayah. Maka, pihak pendakwaan mestilah berjaya membuktikan bahawa wujud mens rea di pihak tertuduh untuk menyabitkan kesalahan dalam pakat jahat jenayah khususnya niat untuk melaksanakan penjanjian mereka itu. Tambahan pula, kedua-dua pihak juga mesti dibuktikan mempunyai niat untuk melaksanakan perjanjian tersebut. Jika hanya seorang sahaja yang mempunyai mens rea tetapi satu pihak lagi gagal dibuktikan mempunyai mens rea, maka pihak-pihak itu akan terlepas daripada tuduhan pakat jahat jenayah.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP